KUALA LUMPUR – Skuad memanah negara yakin sasaran lima pingat emas yang ditetapkan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mampu dicapai pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan NAAM, Lee Jae-Hyung berkata, berdasarkan prestasi semasa atlet, sasaran itu realistik untuk dijadikan motivasi kepada anak didiknya, sekali gus dapat menyamai pencapaian pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
“Kita tidak tahu apa peluang kita, tapi saya yakin boleh sampai ke final dan atlet perlu buat bersungguh-sungguh untuk pastikan pingat menjadi milik Malaysia,” katanya kepada media selepas lawatan Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Megat Zulkarnain diiringi dua timbalannya, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah.
Jae-Hyung menjangkakan pemanah negara bakal berdepan cabaran sengit daripada atlet Indonesia, Thailand serta Filipina pada temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata tuan rumah, Filipina akan mengadakan kejohanan pra-Sukan SEA dijadual pada September ini.
Selepas prakejohanan itu, Jae-Hyung berkata beliau akan menentukan lokasi latihan skuad negara seolah-olah beraksi di venue sebenar sebagai persiapan terakhir ke temasya dwitahunan tersebut.
“Kita akan membuat persediaan dari segi keadaan angin, cari kawasan mempunyai kelajuan dan arah angin hampir sama seperti di Filipina. Venue pertandingan di Filipina di tepi pantai, keadaan anginnya tidak sama seperti di Bukit Jalil,” katanya.
Untuk rekod, skuad memanah negara berjaya mara ke lapan acara final pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan meraih lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan acara sukan berkenaan.
Tiga daripada lima pingat emas skuad memanah menerusi acara compound berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan berpasukan campuran, manakala dua lagi pingat emas menerusi acara recurve berpasukan lelaki dan wanita.-BERNAMA











