PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang telah mengubah kenyataan Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Ab. Aziz berhubung perlakuan melabel atau menggelar orang.
Menurut Yadim, Nik Omar dalam sidang akhbar pada 27 Jun lalu telah menyebut secara umum tentang perlakuan melabelkan gelaran kepada sesetengah pihak yang beliau sifatkan sebagai kelakuan Abu Jahal dan Abu Lahab.
Jelasnya, ucapan Nik Omar itu dibuat secara umum tanpa menyentuh mana-mana pihak secara spesifik.
“Lebih tepat lagi, beliau menyebut ‘Menghukum ini sebenarnya bukan budaya Islam. Menghukum, melabel ini adalah budaya Abu Jahal dan Abu Lahab, Wallahualam.
“Kenyataan beliau ini pada hakikatnya bersandarkan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran, Surah Al-Hujurat Ayat ke 11 yang bermaksud “Janganlah menggelarkan dengan gelaran-gelaran (yang buruk).
“Malangnya beberapa pihak telah mengubah kenyataan tersebut dan menjadikannya seolah- olah ditujukan terus kepada pihak-pihak tertentu,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Yadim, kenyataan Nik Omar tersebut adalah bersifat menasihati supaya orang ramai mengelakkan bersikap sedemikian iaitu kelakuan melabel individu, sesuai dengan peranan Yadim sebagai sebuah organisasi dakwah.
“Yadim menyeru supaya perbuatan mengubah dan menyebar kenyataan ini dihentikan kerana implikasi buruknya, mengundang perpecahan kepada masyarakat.
“Sebagaimana sikap menghukum dan melabel yang amat ditegah, pemanipulasian kenyataan juga adalah satu dosa besar yang harus dihindari,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE











