PUTRAJAYA 18 Julai – Mekanisme susulan keputusan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun perlu dibincang bermula sekarang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, perbincangan itu wajar perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.
Katanya, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu membincangkan perkara tersebut termasuklah untuk menambah saluran mengundi bagi pengundi usia 18 tahun.
“Oleh itu, adalah penting untuk SPR sebagai sebuah badan pengurusan pilihan raya untuk mengadaptasi dengan perubahan yang berterusan. Ini bagi mengekalkan keyakinan awam dalam proses pilihan raya.
“Dalam usaha memperkasa golongan muda supaya terlibat dalam proses demokrasi, usul yang diluluskan itu adalah satu titik penting ke arah demokrasi di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis ‘Forum Make A Change, Let’s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Menurut beliau, langkah itu adalah bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu dalam mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya. -UTUSAN ONLINE











