KUALA LANGAT 5 Julai – Papan tanda jalan dwibahasa di Tanjong Sepat akan diturun dan digantikan dengan bahasa Melayu sepenuhnya dalam masa terdekat.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A. Hamid berkata, sebaik mendapat surat arahan daripada kerajaan negeri, kerja-kerja penggantian akan mula dilaksanakan.
Katanya, MDKL sedia maklum tentang keputusan kerajaan negeri dan juga titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tetapi selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), pihaknya perlu menunggu surat.
“Kita telah bersiap sedia untuk menukar semua papan tanda jalan, namun perlu menunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri.
“Apabila kita menukar papan-papan tanda jalan yang terlibat, kita akan maklumkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan hanya bahasa Melayu sahaja boleh digunakan untuk tujuan rasmi dan juga ke atas papan tanda jalan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan apa sudah jadi dengan titah Sultan Selangor apabila papan tanda jalan di Tanjong Sepat masih dalam dwibahasa, sedangkan Sultan Sharafuddin menitahkan hanya bahasa Melayu boleh digunakan.
Titah berkenaan dibuat baginda pada November tahun lalu, susulan isu serupa di Shah Alam. – UTUSAN ONLINE











