MBNT gesa Ahli Parlimen tolak RUU pinda had umur - Utusan Malaysia

MBNT gesa Ahli Parlimen tolak RUU pinda had umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 5 Julai – Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menggesa semua Ahli Parlimen agar menolak Rang Undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur belia dan anggota pertubuhan belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Presidennya, Amirullah Othman berkata, langkah itu perlu dilakukan tanpa sebarang prejudis demi kepentingan generasi akan datang kerana takrifan umur belia yang baharu iaitu 15 tahun hingga 30 tahun bakal membawa masalah besar bukan sahaja kepada pertubuhan belia di Malaysia, bahkan terhadap warga belia.

Beliau turut mempersoalkan yang pindaan tersebut hakikatnya telah dibuat tanpa persetujuan akhir dengan Majlis Belia Malaysia sekali gus membelakangi dan menidakkan peranan badan induk pertubuhan belia itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inikah yang dikatakan sebagai ‘Youth Power’?

“Barisan kepemimpinan MBNT bukan mahu menongkat langit, malah tiada niat untuk terus kekal menjadi pemimpin pertubuhan belia pelbagai peringkat, namun atas kesedaran keruntuhan pertubuhan belia dan kesan buruk kepada negara maka kita akan memperjuangkan tuntutan ini dengan menolak sekeras-kerasnya pindaan kepada takrifan umur 15 tahun hingga 30 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun di samping pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak lebih empat tahun atau bersamaan dua penggal.

Menurut Amirullah, model pertubuhan belia Malaysia terbukti yang terbaik di dunia dengan konsep bimbingan mentor-mentee, menjadikan pertubuhan belia sebagai benteng kepada masalah sosial dan masalah jenayah dalam kalangan belia kerana pelbagai kelompok usia berada di bawah satu bumbung (pertubuhan).

Tegasnya, walaupun pihaknya telah menyatakan pandangan semasa program engagement pelaksanaan Pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang diadakan pada 30 Mac lalu, namun wakil Kementerian Belia dan Sukan menolak mentah-mentah segala cadangan dan pandangan yang diberikan seolah-olah sesi itu merupakan pemberitahuan keputusan dan bukannya perbincangan.

Sehubungan itu, katanya, satu kajian yang progresif perlu dibuat dengan teliti supaya keputusannya kelak tidak hanya sekadar kejayaan petunjuk prestasi utama (KPI) pihak-pihak tertentu yang akhirnya memberi kesan buruk kepada pertubuhan belia, para belia dan seterusnya rakyat Malaysia.

“MBNT sebagai badan induk pertubuhan belia di Terengganu kesal dan amat terkilan dengan pembentangan RUU itu sedangkan, dalam ucapan Syed Saddiq semasa merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2019 lalu beliau bersetuju yang takrifan umur belia adalah antara 15 tahun hingga 35 tahun.

“Bagaimanapun, kita sedia berunding dan memberikan pandangan ikhlas termasuk berdepan dengan semua pihak dalam memperjuangkan isu ini. Kepada para belia, marilah kita bersatu hati dan suara tanpa apa-apa kepentingan peribadi demi memperkukuhkan pertubuhan belia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini