BATU PAHAT – Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan reput di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Parit Mohamad, Parit Sulong, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja dihubungi penduduk yang menemui mayat lelaki berusia 65 tahun itu kira-kira 5.30 petang.
Lelaki warga tempatan itu dipercayai sudah lama meninggal dunia.
“Hasil siasatan mendapati mayat lelaki terbabit berada dalam keadaan mereput, lengkap berpakaian dan (polis) turut menemui sebuah motosikal yang dipercayai digunakan si mati ke kebun kelapa sawit itu.
“Pemeriksaan awal oleh pihak polis tidak menemui sebarang kecederaan fizikal pada mayat berkenaan, tiada sebarang senjata berbahaya dan tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Azhan berkata, siasatan mendapati mangsa adalah pesara penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) yang menetap di bandar ini dan bekerja mengambil upah melakukan kerja-kerja pertanian dan pembersihan di beberapa kebun kelapa sawit di sekitar Parit Sulong selepas persaraannya.
“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes (kematian) mengejut dan pihak polis tiada menerima laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa berkaitan kehilangannya sebelum ini,” katanya. – Bernama











