KUALA LUMPUR 31 Julai- Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas kren yang dikendalikannya terjatuh ke dalam sungai Nanga Amang di Batang Rajang, Kapit, Sarawak pada Ahad lalu telah ditemukan, petang semalam.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit yang juga Komander Operasi Erwandy Tugor berkata, mangsa, Kiing Sih Hock, 59, ditemukan dalam jarak tujuh kilometer dari tempat dia terjatuh.
“Mayat ditemukan di seberang Nanga Nyikau kira-kira pukul 1.02 petang semalam.
“Dengan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sejurus selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahad lalu, kren yang dikendalikan mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika sedang mengangkat kayu balak.
Dalam kejadian malang itu, mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan terjatuh bersama kren ke dalam sungai tersebut.- UTUSAN ONLINE











