DUNGUN 21 Julai – Seorang pembantu kedai yang baharu setahun berkahwin kempunan makan durian apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 18 Jalan Dungun – Bukit Besi di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut dekat sini semalam.
Nik Nur Afera Nordin, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Dungun di sini selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan pukul 4.30 petang itu.
Sewaktu kejadian mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Padang Pulut menuju tempat kerjanya di Bukit Besi.
Difahamkan, mangsa dikatakan tidak sempat memakan durian di tempat kerjanya selepas memperolehi buah durian itu daripada ibunya di rumah mereka di Kampung Baru, Padang Pulut.
Lebih menyayat hati, sebutir durian yang dibawanya itu jatuh tergolek di atas jalan sejurus kemalangan itu berlaku dan mangsa turut tercampak beberapa meter akibat perlanggaran itu.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk paha hampir putus manakala lututnya hancur.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharuddin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu kereta terbabit yang merupakan pegawai penjara dan berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jenazah mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Nordin Mat Yusof, 56, berkata, dia sempat mengajar anaknya mengucap dua kalimah syahadah sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian.
“Sebelum pergi kerja, dia ada minta sebiji durian dari ibunya dan katanya nak makan di tempat kerjanya. Malangnya dia tak sempat makan buah durian itu,” katanya yang dia serta keluarga reda dengan ketentuan Tuhan. – UTUSAN ONLINE











