REMBAU – Masyarakat perlu menghormati jasa anggota bomba yang sentiasa bersedia membantu dalam apa jua keadaan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, peranan yang dimainkan pasukan itu amat penting dalam kehidupan masyarakat dan negara malah tindakan menghina anggota beruniform berkenaan tidak seharusnya berlaku.
“Saya berharap kita semua hormatilah anggota bomba dan jangan kita aniaya dan hina mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis Aidilfitri anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT, Nazri Yunos.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau berkata ucapannya itu adalah merujuk kepada tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menconteng mural potret angota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, baru-baru ini. – Bernama











