JOHOR BAHRU 10 Julai – Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini gagal apabila mereka diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, awal pagi ini.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua mereka ditahan di kawasan hutan pantai Sungai Tengah, Bandar Penawar, Kota Tinggi.
“Hasil serbuan dilakukan, tujuh lelaki dan seorang wanita yang dipercayai baharu mendarat di negara ini berjaya ditahan.
“Berdasarkan siasatan, kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah Khon Chiang, mereka dipercayai sedang menunggu tekong darat untuk mengambil mereka sebelum dibawa ke lokasi lain.
PATI yang ditahan dibawa ke Markas PPM Wilayah 2 Pengerang untuk proses dokumentasi manakala kes disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963. -UTUSAN ONLINE











