KUALA LUMPUR 17 Julai – Empat jenama terkemuka bekerjasama membentuk hab pusat sehenti kelengkapan rumah, mari-mari home yang menawarkan pelbagai pakej pada harga istimewa khusus untuk pemilik kediaman serta pemaju.
Pengasas mari-mari home dan Unity Kitchen Sdn. Bhd. (Unity Kitchen), Erny Looi Chee En berkata, empat jenama itu ialah Delux Stainless Steel Sdn. Bhd. (Delux), SENZ Marketing (M) Sdn. Bhd.(SENZ), Unity Kitchen dan Korea Wallpaper (HQ) Sdn. Bhd. (Korea Wallpaper).
Menurut beliau, platform mari-mari home diwujudkan bagi membolehkan para pelanggan menikmati pakej hebat yang ditawarkan oleh setiap jenama atau syarikat yang mengambil bahagian.
“Antara produk yang boleh didapati menerusi platform ini seperti pintu pagar automatik, pintu keselamatan, sistem bumbung, kelengkapan serta kabinet dapur, almari pakaian dan kertas dinding.
“Buat masa ini, mari-mari home bermula dengan empat jenama dan akan menambah lebih banyak jenama terkemuka pada masa depan,” katanya dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengasas Delux, Chui Yun Fei; Ketua Pegawai Eksekutif Korea Wallpaper, Acid Yong dan Pengarah Urusan SENZ, Leong Hong Yin.
Tambah Chee En, platform itu juga menyediakan ruang kepada syarikat-syarikat yang menyertai mari-mari home untuk bekerjasama dalam mempromosikan pakej dan pelancaran produk-produk baharu.
“Gabungan empat jenama ini menjadikan capaian pemasaran lebih luas termasuk penggunaan media sosial yang mana kami memiliki lebih sejuta peminat dan beratus ribu pelanggan sedia ada.
“Dengan bergabung kami dapat menggunakan sumber-sumber dan kekuatan yang ada pada setiap ahli,” ujarnya.
Sementara itu, Yong berkata, mari-mari home turut menyediakan penyelesaian pantas kepada pemaju hartanah seperti mendapatkan dan membeli produk yang tepat untuk projek mereka di bawah satu pusat sehenti.











