PARIT BUNTAR – Dua kanak-kanak perempuan yang ditemukan mati lemas dalam sebuah parit di Kampung Parit Bagan Tiang di sini semalam berpunca dari tindakan mereka bermain-main dan mandi di situ.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh, berkata temu bual dengan ibu mangsa mengakui dua anaknya itu memberitahu mereka mahu bermain-main dan mandi di parit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua kanak-kanak itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Megat Aris, Bagan Tiang telah pergi ke kelas fardu ain bersebelahan Masjid At Taqwa, di sini.
“Menurut ibu mangsa, selepas kelas fardu ain, kedua-dua anaknya pulang ke rumah dan memberitahu mereka mahu bermain-main dan mandi di parit berkenaan.
“Ibu mangsa memberitahu, semalam merupakan hari kedua anaknya itu bermain dan mandi di lokasi sama sebelum mereka ditemukan lemas,” katanya di sini. – UTUSAN ONLINE











