Malaysian Tigers hilang sentuhan berbisa Firhan - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers hilang sentuhan berbisa Firhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPARAN hebat buat skuad hoki lelaki negara menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 apabila kehilangan khidmat penyerang lincah, Muhammad Firhan Ashari yang terpaksa berehat panjang susulan kecederaan lutut.

Firhan, 26, terpaksa akur terlepas aksi penting tersebut selain siri Jelajah Eropah bermula pertengahan bulan ini kerana kecederaan tidak dijangka itu menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini.

“Doktor beritahu saya perlu ambil masa sekurang-kurangnya tujuh bulan untuk pulih sepenuhnya, bermakna Januari tahun depan. Saya kecewa kerana tidak dapat mengelak daripada mengalami kecederaan serius seperti ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa sekarang selain menjalani proses pemulihan setiap hari. Saya terpaksa lupakan hasrat untuk bersama rakan-rakan sepasukan ke Jelajah Eropah dan saingan kelayakan Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Penyerang Tenaga Nasional Berhad itu dilihat berada pada tahap terbaik tahun ini apabila berjaya menampilkan prestasi cemerlang pada Piala Sultan Azlan Shah selain membantu Malaysian Tigers meraih naib juara Final Siri Hoki Dunia.

Situasi itu pastinya merencatkan perancangan ketua jurulatih, Roelant Oltmans yang akan berlepas ke Eropah pada 21 Julai menghadapi aksi persahabatan menentang Jerman di Krefeld (25 Julai) sebelum bertemu Sepanyol di Terrassa (29 Julai).

Malaysian Tigers juga akan mengharungi Kejohanan Empat Penjuru yang turut disertai England, Ireland dan Sepanyol dari 1 hingga 4 Ogos sebelum menentang Belanda di Breda (6-8 Ogos) dan Belgium di Antwerp (9-12 Ogos).

Selepas itu, skuad negara akan berlepas ke Tokyo menyertai acara ujian Sukan Olimpik di­sertai Jepun, New Zealand dan Australia dari 19 hingga 23 Ogos sebelum mengadakan beberapa aksi persahabatan menentang Korea Selatan di Incheon pada penghujung September.

Segala aksi persahabatan dan kejohanan jemputan diatur Konfederasi Hoki Malaysia itu merupakan platform persediaan buat Malaysian Tigers sebelum berentap pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 sekitar Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini