KUALA LUMPUR – Sehari selepas membenam Bangladesh 6-0, Malaysia berpesta gol lagi pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia apabila membelasah Filipina 20-1 dalam saingan Kumpulan A di Chonburi, Thailand hari ini.
Shafiq Yaacob dan Faridzul Mohamad masing-masing meledak empat gol, manakala Firdaus Omar dan Muhammad Azhar menjaringkan hatrik.
Enam lagi gol Malaysia disempurnakan oleh Rafizul Mustafa, Aminudin Zain dan Shello Silverius yang masing-masing meledak dua gol.
Pasukan hoki lelaki negara bimbingan Megat Azrafiq Termizi bagaimanapun bakal berdepan lawan sebenar iaitu juara tujuh tahun berturut-turut, Iran dalam aksi ketiga, Khamis ini.
Pencapaian terbaik Malaysia dalam Piala Asia Dalam Dewan adalah muncul naib juara 2014, 2010, 2009 dan 2008.
Sementara itu, skuad wanita negara yang disasarkan untuk mara ke final akan berdepan tuan rumah, Thailand dalam saingan Kumpulan B esok selepas membenam Singapura 4-0 semalam.
Malaysia yang pernah muncul juara 2009 muncul naib juara dalam edisi terakhir di Doha, Qatar, dua tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











