KUALA LUMPUR 31 Julai – Malaysia mempromosikan pendidikan negara meliputi pelbagai bidang termasuk tahap kualiti yang dinilai menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam usaha membina keyakinan kepada China.
Usaha tersebut dilihat sebagai inisiatif Kementerian Pendidikan melalui Institusi Pendidikan yang berhasarat memperkukuhkan kejasama pendidikan tinggi dengan China.

Menurut Kementerian Pendidikan, hasrat itu disampaikan Delegasi Malaysia terdiri daripada 46 pegawai yang menghadiri Minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN Ke-12 (CAECW) di Guiyang, Guizhou, China pada 22 hingga 23 Julai lalu.
Pengarah Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Dr. Rahmah Ahmad H. Osman yang mengetuai kumpulan itu memberitahu, sebanyak 23 surat hasrat dan tiga dokumen kerjasama pendidikan telah dimeterai oleh institusi pendididikan tinggi (IPT) kedua-dua negara.
“Kita mahu menjadi Hab Pendidikan Antarabangsa di samping memberi komitmen untuk mempromosikan pertukaran bahasa selain menggalakkan mobiliti pelajar dan pegawai serta saling bertukar budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen dan minat terhadap Data Raya dan Revolusi Industri (IR) 4.0 yang menjadi bidang keutamaan di wilayah Guizhou.
Beliau menambah, penyertaan syarikat swasta dan gergasi dialu-alukan untuk bekerjasama dalam usaha ini.
“Penyertaan syarikat gergasi seperti Alibaba secara strategik dengan Malaysia adalah dialu-alukan dalam membentuk pengisian kerjasama seperti menawarkan latihan dan kepakaran industri kepada pelajar kita.
“Bagi menggalakkan penyertaan pelajar dari China melanjutkan pengajian di IPT Malaysia, JPT akan memastikan terdapat aktiviti pertukaran pelajar, penyelidikan bersama serta ruang kolaborasi dijalankan antara universiti di kedua-dua negara,” katanya.
Tambah Rahmah, sebanyak 11 universiti dari China dan sembilan dari Malaysia menyertai Perbincangan Meja Bulat Presiden China-Malaysia untuk menyediakan platform terbaik bagi kedua-dua negara memahami keperluan institusi pendidikan tinggi (IPT) masing-masing. – UTUSAN ONLINE











