KUALA LUMPUR – Malaysia akan membangkitkan beberapa perkara pada mesyuarat Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina pada minggu depan.
Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, hasil tinjauan awal yang dilakukan oleh delegasi Malaysia diketuai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mendapati terdapat beberapa venue yang masih dalam pembinaan sedangkan Sukan SEA bakal berlangsung dalam tempoh empat bulan.
Ahmad Shapawi bersama 12 wakil MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN) berada di Filipina sejak 1 Julai sehingga esok bagi melihat sendiri persiapan tuan rumah bagi menganjurkan Sukan SEA 2019.
“Yang bagusnya, hanya Malaysia sahaja yang menghantar wakil untuk melihat persiapan sebelum mesyuarat ketua kontinjen diadakan (minggu depan).
“Jadi sekurang-kurangnya bila kami pergi ke sana pada 10 Julai nanti, kita dah ada laporan lengkap situasi terkini kerana pada 12 Julai, kami akan dibawa melawat ke venue pertandingan, tapi hanya di Subic sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat atlet sukan angkat berat, silat dan memanah di MSN, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Turut serta pada lawatan berkenaan adalah dua timbalannya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli dan bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berkata Philsgoc akan mengadakan beberapa pertandingan pra-Sukan SEA bagi menguji peralatan dan venue pertandingan sebelum bermulanya temasya sukan dwitahunan berkenaan pada November nanti.
Untuk rekod, Sukan SEA 2019 akan diadakan di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.-BERNAMA











