Malaria: Ahli Parlimen Cameron Highlands luah rasa tidak puas hati - Utusan Malaysia

Malaria: Ahli Parlimen Cameron Highlands luah rasa tidak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Julai – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung komitmen kerajaan dalam menangani wabak Malaria yang melanda komuniti Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

Beliau juga kurang bersetuju terhadap laporan yang memetik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa wabak itu yang telah menjejaskan 11 Orang Asli, adalah dalam bentuk ringan dan tidak mengancam nyawa.

Beliau mendesak agar kerajaan tidak berkompromi dalam menjaga kesihatan masyarakat Orang Asli kerana ia mengancam kesihatan nyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya amat kurang setuju dan berasa Menteri Kesihatan kurang prihatin isu wabak Malaria yang melanda Orang Asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan hari ini menjelaskan sedang memantau kejadian kluster kes Malaria itu bagi memastikan kejadian jangkitan dapat dikawal.

Malah pada 12 Julai lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wabak dan aktiviti kawalan serta tindakan pengesanan kes.

Jelas Kementerian Kesihatan lagi, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan aktiviti kawalan Malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding dan edaran kelambu berubat di kawasan terlibat.

Mengulas lanjut Ramli berkata, beliau khuatir apabila mengetahui kes wabak itu berulang memandangkan sejak lapan tahun lalu ia sudah terkawal.

“Bagi saya apabila ramai Orang Asli dijangkiti penyakit Malaria yang telah pupus semenjak lapan tahun lalu dan kini kembali, ia adalah serius,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini