KUALA LUMPUR 17 Julai- Mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM90 untuk sekali langganan.
Itu kegiatan seorang ‘maknyah’ serta 20 wanita yang ditahan kerana disyaki menjalankan khidmat pelacuran dalam serbuan Op Noda di premis kediaman dan kaki lima berhampiran Wisma Indah, Jalan Tun Razak di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 8.30 malam yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman itu turut menahan lima lelaki termasuk tiga warga asing disyaki pekerja premis berkenaan.
Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Mohd. Hedzir Hussin berkata, siasatan mendapati premus berkenaan menyasarkan pelanggan warga asing dan tempatan serta mengupah beberapa individu untuk mengawasi kawasan terbabit bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.
Menurutnya, tangkapan melibatkan 12 warga China, empat Vietnam, tiga Indonesia dan seorang wanita tempatan serta kesemuanya berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun.
“Selain itu, lima lelaki terdiri daripada warga Bangladesh (2), tempatan (2) dan Indonesia yang berperanan sebagai penjaga di kedua-dua premis berkenaan turut ditahan.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hedzir berkata, operasi akan terus dijalankan daripada semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan pelacuran.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372 (1)(f) kanun yang sama, 39b Peraturan Imigresen, Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen, dan Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE











