KUANTAN – Seorang kerani insurans di Temerloh dekat sini kerugian RM4,200 akibat diperdaya sindiket ‘Love Scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi WeChat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 23 Jun lalu, mangsa berusia 24 tahun berkenalan dengan seorang lelaki bernama James di laman WeChat.
“Lelaki itu memberitahu dia tinggal di United Kingdom kerana bekerja di sana dan berasal dari Texas. Sepanjang berkenalan di WeChat, James memberitahu dia ada menghantar hadiah berupa baju, kasut, telefon bimbit, barang kemas melalui kurier sebagai hadiah tanda perkenalan mereka.
“Pada 27 Jun lalu, mangsa menerima panggilan dari sebuah syarikat kurier mengatakan mangsa perlu membuat bayaran duti kastam untuk menuntut barang tersebut. Pada 2 Julai lepas mangsa membuat pindahan wang secara dalam talian sebanyak RM4,200,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, selepas membuat pindahan wang itu, mangsa dihubungi lagi untuk meminta bayaran tambahan.
“Berasakan dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











