LONDON – Ejen Philippe Coutinho tidak menolak kemungkinan Liverpool merupakan destinasi pilihan perancang Brazil itu, sekiranya dia meninggalkan Barcelona.
Kia Joorabchian mendedahkan, presiden Barca, Josep Bartomeu telah menyatakan pendirian mereka bahawa kelab gergasi Sepanyol itu akan mengekalkan pemain tengah tersebut.
Bagaimanapun, Joorabchian turut mengakui bahawa perasaan sayang Coutinho terhadap Liverpool, tidak memungkinkan dia menyertai seteru Reds, seperti Manchester United ataupun pasukan pesaing lain dalam Liga Perdana Inggeris.
“Manchester United sebuah kelab yang hebat, saya ada pemain di sana dan saya amat menghormati mereka, tetapi untuk Philippe menyertai kelab itu, ia hampir mustahil berlaku. Amat sukar untuk Philippe bermain menentang mana-mana pesaing Liverpool, kerana dia memiliki pertalian istimewa dengan kelab itu.
“Benar, sebagaimana pemain ternama lain, anda mahu merasai pengalaman berbeza dalam karier anda yang singkat, tetapi sewaktu dia meninggalkan Liverpool ia sama sekali tidak melibatkan soal hati, tetapi pertaliannya dengan Liverpool sangat kuat,” kata Joorabchian.
Sekalipun telah meninggalkan Liverpool untuk menyertai Barcelona pada Januari 2018, Joorabchian memberitahu, kasih Coutinho terhadap Reds masih kekal utuh.
“Saya tahu dia sentiasa memberikan sokongan kepada Liverpool setiap kali berpeluang. Lucas Leivapun sama. Rata-rata pemain yang meninggalkan Liverpool masih kekal sebagai peminat kelab itu. Jadi amat sukar untuk dia menyertai musuh Liverpool.
“Setiap kali saya bercakap mengenai hal ini, dia sering menyatakan rasa berat hatinya untuk menyertai kelab lain dalam Liga Perdana,” ujarnya.
Bagaimanapun, Joorabchian berkata, untuk kembali ke pangkuan Liverpool juga bukanlah satu perkara mudah, memandangkan Reds kini antara pasukan terbaik Liga Perdana dan kelab itu juga perlu memikirkan tentang jurang yang bakal wujud jika Coutinho sertai mereka. – AGENSI











