Litar pendidikan jalan raya di Putrajaya - Utusan Malaysia

Litar pendidikan jalan raya di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 17 Julai- Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menghantar permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Wilayah untuk membina sebuah litar pendidikan jalan raya di sini.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, kelulusan mengenai permohonan untuk pembinaan litar di Taman Wawasan yang menelan belanja RM3 juta itu dijangka diketahui pada Oktober ini.

Beliau berkata, litar itu bukan dibina untuk perlumbaan, sebaliknya bagi pendidikan dalam memastikan semua pengguna jalan raya khususnya penduduk Putrajaya mematuhi undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berharap permohonan ini akan mendapat kelulusan pada Oktober ini. Litar berkenaan akan dibina dalam tempoh 12 bulan selepas mendapat kelulusan dan boleh digunakan untuk basikal, motosikal dan go-kart.

“Kita kalau boleh mahu menjadi contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain dalam mendidik pengguna jalan raya ke arah sifar kemalangan maut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Aminuddin merasmikan penubuhan Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Komuniti Putrajaya yang dianggotai 15 orang terdiri daripada Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya dan wakil-wakil penduduk.

Menurut Aminuddin, apabila litar berkenaan siap dibina nanti, penggunaannya akan dipantau oleh unit penguatkuasaan PPj dan juga Persatuan Pendidikan Keselamatan Jalan Komuniti Putrajaya.

Mengulas mengenai penubuhan persatuan terbabit, Aminuddin berkata, persatuan itu akan memainkan peranan untuk mengadakan program pendidikan dan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya bersama komuniti setempat.

Dalam pada itu katanya, inisiatif penubuhan persatuan itu juga salah satu inisiatif bagi mencapai visi untuk menurunkan kadar kemalangan dan sifar kemalangan maut melibatkan warga Putrajaya di jalan raya.

“Mengikut statistik pada 2015 hingga 2018, sebanyak 6,543 kes kemalangan dengan 36 kematian direkodkan di Putrajaya manakala, sehingga Jun lalu, sebanyak 880 kemalangan berlaku dengan satu kes kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini