MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof dikhabarkan sedia meninggalkan Old Trafford sekiranya pasukan itu mahu melepaskannya pada jendela perpindahan musim panas ini.
Lindelof dilaporkan menjadi sasaran kelab gergasi La Liga, Barcelona sekiranya mereka gagal mendapatkan khidmat kapten Ajax Amsterdam, Matthijs De Ligt yang turut menarik minat beberapa pasukan Eropah yang lain.
Justeru, ejen yang menguruskan Lindelof, Hasan Cetinkaya mengakui pemain antarabangsa Sweden itu dirisik pasukan gergasi Eropah, namun tidak mendedahkan pasukan mana yang sudah menghubunginya.
“Lindelof berada dalam perhatian sebuah kelab Eropah yang hebat, tetapi terpulang kepada United sama ada untuk melepaskannya atau tidak,” kata Cetinkaya.
Sebelum ini, Lindelof pernah menyuarakan hasratnya untuk terus menyarung jersi United dan membantu pasukan itu pada saingan musim depan.
“Sudah tentu saya sangat teruja kerana sudah lama tidak bertemu rakan sepasukan. Adalah menggembirakan untuk melihat semua pemain dan anda tahu setiap orang (pemain) teruja untuk bekerja keras dan bersedia menghadapi musim baharu,” ujar Lindelof.
Bagaimanapun, The Red Devils tidak berdepan cabaran mudah pada aksi pembukaan Liga Perdana England musim depan apabila dijadualkan bertemu Chelsea yang pastinya berwajah baharu di bawah kendalian Frank Lampard. – Agensi











