SEREMBAN – Lima penyokong sebuah parti politik yang bertindak memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, April lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban Khamis ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun itu akan dituduh dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000.
“Sesiapa sahaja tanpa mengira penyokong parti mana jika didapati bersalah tindakan akan diambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Seremban di sini hari ini.
Kosmo! pada 14 April lalu melaporkan polis memburu lima lelaki dipercayai penyokong sebuah parti politik kerana menahan dan memeriksa MPV polis di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua di Rantau.
Polis mengenal pasti lima lelaki terbabit berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial serta laporan yang dibuat oleh anggota polis terlibat.
Lima lelaki berkenaan meminta anggota polis membuka but MPV tersebut kerana disyaki membawa kertas lebihan undi dan anggota polis terpaksa memenuhi permintaan mereka untuk mengelakkan kekecohan.
Terdahulu, Mohamad menyaksikan Majlis Serah dan Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Bekas Ketua Polis Daerah Kemaman, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim menggantikan Asisten Komisioner Thiew Hock Poh yang bertukar ke Bahagian (Pengurusan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.
Mohd Said yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, tugas beliau di Seremban mungkin akan jadi lebih mencabar berbanding di Kemaman.
“Namun saya akan memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin dan mengharapkan kerjasama semua pihak,” katanya. – K! ONLINE











