KEPALA BATAS 8 Julai – Seorang lelaki menerima padah apabila ditahan polis selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Plaza Tol Bertam ke Plaza Tol Sungai Dua, Butterworth, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, lelaki berusia 56 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi berkenaan didapati memandu secara melawan arus sejauh kira-kira sembilan kilometer sebelum ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek ditahan ketika dia berhenti di lorong Smart Tag di Plaza Tol Sungai Dua.
“Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kepala Batas bagi ujian alkohol serta dadah.
“Suspek disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga bertindak memandu melawan arus,” katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, siasatan mendapati suspek baru pulang dari sebuah kelab malam di kawasan pulau dan dalam perjalanan ke rumahnya.
Beliau berkata, suspek memandu seorang diri menuju ke Bukit Tambun tetapi telah tersalah jalan sehingga ke Tol Bertam di daerah SPU.
“Apabila melepasi Tol Bertam, dia tersedar tersalah arah dan membuat pusingan semula ke arah selatan dengan memandu secara melawan arus.
“Suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –UTUSAN ONLINE











