PETALING JAYA – Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari tingkat 14 di sebuah pangsapuri di Taman Medan Cahaya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa, M. Sri Kumaran, 32, terjatuh di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina.
“Sebaik menerima panggilan orang awam tentang kejadian itu, sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa terjatuh dan terperangkap di dalam MPV dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Zani menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
“Sehingga masa kini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – K! ONLINE











