SUNGAI SIPUT – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari buah durian sejak Jumaat lalu ditemukan mati dalam kawasan hutan di Kampung Pisang, Jalong Tinggi di sini hari ini.
Mayat Mohd. Syaipul Azizi Murad, 38, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terbaring di kawasan cerun kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu pada lewat malam Isnin lalu.
Katanya, kali terakhir lelaki itu ditemui penduduk kampung pada Jumaat lalu dan dia dikatakan masuk ke kawasan hutan tersebut untuk mencari buah durian.
“Kehilangan lelaki itu disedari keesokkan harinya setelah dia didapati tiada di rumah dan usaha mengesannya segera dijalankan oleh orang kampung.
“Polis menggerakkan operasi mencari mangsa sebaik sahaja kita menerima laporan kehilangan lelaki itu pada Isnin lalu sebelum menjumpai mangsa di kawasan cerun kira-kira satu kilometer dari rumahnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Khaizam, pemeriksaan mendapati, mangsa yang masih lengkap berpakaian itu telah meninggal dunia dan terdapat kesan-kesan calar pada tubuhnya.
“Berdasarkan pemeriksaan luaran, mangsa hanya mengalami calar pada tubuhnya namun siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama adaterdapat kesan kecederaan lain.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.-UTUSAN ONLINE











