KUALA LUMPUR 8 Julai – Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang ketika memeriksa jaring ikan di Batang Rajang pada Ahad lalu ditemukan lemas di sungai tersebut hari ini.
Portal berita Utusan Borneo melaporkan mayat mangsa yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan terapung oleh orang awam sekitar pukul 4.30 petang.
Menurut sumber, semasa ditemui, mayat mangsa masih berpakaian lengkap dan dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.
“Tiada sebarang kesan kecederaan dan unsur jenayah ditemukan pada badan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut,” kata sumber.
Difahamkan, sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, menurut saksi ketika kejadian pada pukul 3 petang semalam itu, seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh am mendakwa dia dan rakannya ternampak mangsa terjun ke sungai untuk memeriksa jaring ikan.
Sejak itu, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa ditemui itu hilang.
Kejadian berlaku ketika dia dan rakannya berada di dermaga ekspres di Jalan Khoo Peng Long. – UTUSAN ONLINE











