Lelaki ditemui maut dengan kesan tetakan  - Utusan Malaysia

Lelaki ditemui maut dengan kesan tetakan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHANGLUN – Seorang lelaki yang dipercayai mengalami kemurungan ditemui maut dengan kesan tetakan pada lengan kiri dan luka pada belakang kepala di Kilometer 28 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Tenku Khairul, 40, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis pada pukul 9.55 malam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, saksi memaklumkan mangsa menunggang motosikal dalam keadaan melawan arus di bahu jalan menghala Kampung Langsat sebelum terbabas masuk ke dalam longkang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa ketika itu dikatakan masih hidup dan dia kemudian dibawa keluar dari longkang.

“Pakaian mangsa basah dan dia sempat membuka pakaiannya sebelum tidak sedarkan diri seterusnya anggota perubatan Hospital Jitra mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, hasil maklumat yang diperoleh, mangsa dikatakan mengalami kecederaan akibat ditetak di lokasi lain iaitu di kawasan berhampiran gelanggang futsal di Felda Laka Selatan di sini.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang dikatakan dalam keadaan marah sambil memegang parang pergi ke kawasan tersebut menyebabkan dua lelaki di situ melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang semula ke kawasan berkenaan bersama bapanya untuk mengambil motosikalnya yang tertinggal, namun mereka diserang mangsa dengan parang,” katanya.

Ujarnya, berlaku pergelutan antara mangsa dengan salah seorang lelaki terbabit sehingga mengakibatkan mangsa cedera pada lengan tangan kiri.

“Susulan kejadian itu, kita telah menahan tiga lelaki termasuk dua beranak berusia 67 dan 26 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Mohd. Ismail, temubual dengan keluarga mangsa memaklumkan dia mengalami masalah kemurungan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini