JEMPOL – Seorang penunggang motosikal cedera selepas kenderaannya terlanggar seekor lembu di Kilometer 26 Jalan Bahau – Kemayan di sini, malam semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, mangsa, Raja Muhammad Raja Bungsu, 32, patah tulang pinggul dalam kejadian kira-kira pukul 11.54 malam itu.
Katanya, ketika kejadian pekerja kilang itu yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Melaka ke Jerantut, Pahang.
“Apabila tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas dari bahu kanan jalan ke kiri jalan. Lelaki itu tidak sempat berhenti lalu terlanggar lembu tersebut.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di tulang pinggul dan dihantar ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd Nur Hishamuddin berkata, penunggang motosikal yang berasal dari Kampung Besol, Jerantut itu tidak memiliki lesen memandu dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ini merupakan kejadian terbaharu melibatkan penunggang motosikal melanggar haiwan peliharan yang berkeliaran di tepi jalan raya di daerah ini.
Dalam kejadian tengah malam pada 22 Jun lalu, dua remaja maut selepas motosikal masing-masing merempuh kerbau di jalan utama Serting Hilir di sini. – UTUSAN ONLINE











