KLANG – Polis telah menahan lelaki yang disyaki membakar empat buah rumah sewa milik keluarganya yang terletak di Jalan Landasan, Kampung Bukit Kuda, di sini, semalam.
Suspek berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah taman permainan kanak-kanak di Kota Raja di sini kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah kemurungan dan gangguan mental.
Katanya, ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Hasil soal-siasat suspek mengaku membakar empat buah rumah sewa milik keluarganya termasuk rumah didiami suspek dan abangnya serta rumah didiami empat sekeluarga.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai masalah mental dan sering berhalusinasi,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelas Nurulhuda, pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan samun.
“Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Kosmo! Online semalam melaporkan, empat sekeluarga nyaris rentung selepas seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental bertindak membakar empat buah rumah sewa milik keluarganya yang terletak di Jalan Landasan, Kampung Bukit Kuda, di sini. – K! ONLINE











