PUTRAJAYA – Bilangan atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijangka bertambah menjelang akhir tahun ini berikutan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan ketika ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Katanya beliau telah diberikan taklimat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan beberapa persatuan sukan yang menyatakan keyakinan atlet di bawah kendalian mereka mampu layak ke Olimpik.
Daripada taklimat berkenaan, katanya hoki lelaki dan wanita adalah antara acara yang dilihat berpotensi menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.
“Fokus utama kita adalah memastikan hanya mereka yang berkelayakan dipilih untuk mewakili negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di sini hari ini.
Daripada taklimat berkenaan, katanya hoki lelaki dan wanita adalah antara acara yang dilihat berpotensi menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.
Syed Saddiq dalam pada itu berkata, kejayaan gandingan penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo perlu dijadikan inspirasi oleh atlet lain yang sedang memburu tempat ke temasya itu tahun depan.
“Kita harap prestasi itu dapat terus ditingkatkan,” katanya mengulas kejayaan gandingan Mun Yee dan Pandalela yang meraih pingat perak dalam acara 10 meter terjun seirama dalam Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan pada Ahad, sekali gus melayakkan mereka ke Sukan Olimpik Tokyo. – BERNAMA











