Laporan Audit: Tindakan segera banteras penipuan, manipulasi - Utusan Malaysia

Laporan Audit: Tindakan segera banteras penipuan, manipulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil tindakan segera terhadap isu penipuan, manipulasi serta ketidakcekapan perbelanjaan yang berlaku melibatkan beberapa agensi dan jabatan kerajaan seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018 baru-baru ini.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tindakan itu penting bagi membuktikan bahawa kerajaan PH benar-benar mementingkan perbelanjaan yang lebih efisien, mendukung akauntabiliti lebih tinggi serta menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, menteri yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak berintegriti dan gagal melaksanakan tugas dengan baik.

“Setiap tahun kita menerima laporan audit tetapi apakah hasilnya? Rakyat ingin melihat langkah pelaksanaan dan tindakan seterusnya yang diambil terhadap isu-isu yang dilaporkan.

“Kita tahu laporan audit adalah penting tetapi Jabatan Audit tiada kuasa untuk mengambil tindakan. Mereka hanya mengaudit serta mengeluarkan laporan dan kemudian dibentangkan di Parlimen. Jabatan itu sendiri atau menteri yang bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 kelmarin yang antaranya mendedahkan berlakunya manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (my-IMMs) untuk meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan negara kehilangan banyak hasil.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal tidak menolak kemungkinan berlakunya ketirisan dalam Jabatan Imigresen kerana jabatan itu sendiri mempunyai Jabatan Audit Dalaman dan Jabatan Integriti.

Jelasnya, sekiranya jabatan itu tidak melaksanakan tugas dengan baik, maka, kerajaan juga gagal mendapatkan keuntungan yang sepatutnya diterima.

“Jabatan Imigresen adalah jabatan yang sangat sensitif kerana mengendalikan ratusan ribu pekerja asing di negara ini. Pembayaran levi adalah sumber kewangan kepada kerajaan ditambah pula dengan keadaan kerajaan yang mengalami masalah kewangan, kalau kerajaan tidak dapat levi atau cukai sepatutnya, bagaimana pentadbiran hendak berjalan lancar?” soalnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini