ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan borang parti politik tertentu diselitkan pada borang permohonan perumahan generasi kedua Felda.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi berkata, sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihaknya.
“Buat masa ini, saya belum menerima sebarang laporan berkaitan daripada pengurusan Felda, bagaimanapun, jika ada mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung perkara itu sila laporkan kepada saya.
“Sekiranya aktiviti macam itu datangnya daripada pihak kerajaan, saya tidak teragak-agak untuk melaporkan perbuatan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Zahari Sarip (BN-Buloh Kasap) mengenai ada pihak menyelitkan borang penyertaan parti politik tertentu pada borang permohonan perumahan generasi kedua Felda yang diedarkan di kawasan tanah rancangan itu di negeri ini. -UTUSAN ONLINE.











