JELEBU – Lapangan terbang kecil yang dibina di atas tanah persendirian di Kuala Klawang di sini sejak dua tahun lalu tidak mempunyai kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menjalankan operasi penerbangan.
Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman berkata, walaupun pembinaan lapangan terbang itu di atas tanah persendirian, tetapi sebarang aktiviti penerbangan perlu mendapat kebenaran CAAM.
“Tiada sebarang maklumat daripada CAAM mengenai kewujudan lapangan terbang tersebut. Ini baru pertama kali kami melihat lapangan terbang itu dan kami akan melapor balik kepada CAAM untuk melakukan semakan.
“Setakat ini yang kami tahu ia tiada kelulusan CAAM (untuk menjalankan aktiviti penerbangan),” katanya ketika di temui pemberita di lokasi sebuah pesawat ringan jenis Technam yang berlepas dari lapangan terbang itu terhempas di sebuah kawasan bekas lombong pasir di Titi dekat sini pada 29 Jun lalu.
Kosmo! hari ini melaporkan polis mengesahkan objek rentung ditemui terhempas dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang, Sabtu lalu pesawat ringan jenis Technam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop dipetik berkata, kes itu kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.
Mengulas insiden berkenaan, Yahaya berkata, lelaki warga Amerika Syarikat berusia 60 tahun yang menerbangkan pesawat itu mendakwa pesawat berkenaan terhempas selepas hilang kawalan akibat angin terlalu kuat.
Menurut beliau, warga AS itu mempunyai Private Pilot License (PPL) untuk menerbangkan pesawat di Malaysia dan kini berada dalam keadaan stabil di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Jelas beliau, warga AS itu terlebih dahulu berlepas dari lapangan terbang Subang menaiki pesawat ringan lain sebelum menukar pesawat di lapangan terbang kecil berkenaan.
Kata beliau, penerbangan dari lapangan terbang Subang mendapat kelulusan CAAM, tetapi penerbangan pesawat ringan yang terhempas itu tidak dilaporkan kepada CAAM.
Tambah beliau, setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan seramai lima individu termasuk dua mangsa terbabit untuk membantu siasatan dan tindakan selanjutnya dibawah bidang kuasa CAAM. – K! ONLINE











