KUANTAN 15 Julai – Kematian Ketua MIC Bahagian Paya Besar, G. Ramesh yang mayatnya ditemukan di tepi jalan kira-kira dua kilometer dari Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, dekat sini malam semalam mungkin berpunca daripada kes langgar lari.
Mayat Ramesh, 50, ditemukan orang awam pada pukul 10.50 malam kira-kira 20 meter daripada kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dinaikinya.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis ketika ini mengklafikasikan kes berkenaan sebagai kemalangan maut dan tidak menolak kemungkinan kes langgar lari.
Katanya, hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala.
“Siasatan awal berdasarkan fizikal tempat kejadian kita percaya berlaku kemalangan jalan raya yang mungkin saya boleh sebut sebagai langgar lari.
“Siasatan sehingga kini tidak mengesan elemen berunsur perbuatan jenayah dan sebagainya. Kita menjalankan siasatan bersabit kemalangan maut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, mengesahkan mangsa adalah Ketua MIC Bahagian Paya Besar.
Mendiang mengetuai MIC bahagian itu sejak tahun lalu dan merupakan bekas Ketua Pemuda MIC negeri. -UTUSAN ONLINE











