LONDON – Frank Lampard telah menetapkan bagaimana Chelsea akan bermain dan menegaskan, dia tidak perlu mengukuhkan skuad bimbingannya sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris membuka tirai.
The Blues dilarang daripada menandatangani pemain baharu pada dua jendela perpindahan sehingga Januari 2020, tetapi Lampard ketika ditemui sewaktu jelajah pra-musim di Jepun berkata, dia gembira dengan skuad sedia ada.
“Saya telah mewarisi pemain-pemain yang bagus. Kami tidak boleh membawa masuk mana-mana pemain tahun ini, itu kami tahu, tetapi saya juga tidak memerlukan pemain baharu. Saya gembira dengan skuad sekarang dan yakin kami mampu melakar kejayaan,” kata bekas pengurus Derby itu kepada Sky Sports.
Rayuan Chelsea terhadap sekatan pada perpindahan pemain kerana melanggar peraturan ditetapkan bagi menandatangani pemain remaja telah ditolak oleh FIFA, Mei lalu, namun, Lampard kini fokus sepenuhnya untuk mempersiapkan pasukannya.
“Saya amat mengenali kelab ini, begitu juga dengan para pemain. Saya mempunyai cara saya sendiri untuk bekerjasama dengan pemain. Saya perlu katakan, sepanjang seminggu kami menjalani latihan, saya sangat gembira dengan tingkah laku dan kualiti yang dimiliki para pemain,” ujarnya.
Skuad bimbingan Lampard yang akan berdepan Barcelona, Selasa depan di Jepun mendedahkan, bagaimana dia mahu pasukannya bermain, musim depan dan bersedia untuk mengikut jejak langkah juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City dan pemenang Liga Juara-Juara, Liverpool yang gemar menghadirkan tekanan ke atas lawan mereka ketika beraksi dalam padang.
“Jadi, tugas saya ialah untuk bekerja keras bersama mereka. Saya gemar melihat pasukan saya bermain begitu bertenaga, memiliki kelajuan dengan ataupun tanpa bola, jadi apabila kami kehilangan bola, saya mahu pemain memenanginya kembali secepat yang boleh.
“Apabila kami memegang bola, saya mahu mereka bergerak pantas dan mencipta peluang untuk memenangi perlawanan dan bermain bola sepak dengan cara yang menyeronokkan,” tambah Lampard. – AGENSI











