LONDON – Frank Lampard kini berdepan tekanan sama seperti 18 tahun lalu selepas dilantik selaku pengendali Chelsea yang baharu.
Antara tekanan yang sedang dihadapi ialah tidak boleh melakukan sebarang urusan jual beli pemain untuk dua sesi perpindahan selain kehilangan bintang mereka, Eden Hazard yang dilepaskan kepada Real Madrid.
Lampard, 41, menegaskan bahawa dia tidak akan terbawa-bawa dengan kejayaannya semasa bergelar pemain kerana sedar bahawa tahap permainan sekarang jauh lebih tinggi berbanding ketika dia bersama Didie Drogba menguasai Eropah dan barat London.
Bekas pemain tengah England yang merangkul hampir kesemua trofi kejuaraan utama sepanjang berada di Stamford Bridge berkata, tiada sesiapa yang meletakkan sasaran buat dirinya kerana dia sedang berdepan cabaran sejak dari hari pertama.
“Datang ke sini 18 tahun lalu adalah sangat mencabar.
“Saya masih ingat ketika pulang ke rumah dan mendengar radio, ada soalan sama ada saya patut berada di sini dengan nilai 11 juta pound (RM57.22 juta). Saya bekerja keras untuk menjadi pemain yang bagus dan kini berada di posisi di mana saya perlu bekerja keras untuk menjadi pengurus berjaya.
“Pemilik saya menang 16 trofi dalam 16 tahun, itu adalah kejayaan besar buat dirinya. Sekarang ini di memilih saya untuk melaksanakan tugasan di sini.
“Tanggungjawab saya kini ialah untuk terus memberikan kejayaan kepada kelab,” katanya.-AGENSI











