Kumpulan Utusan hargai jasa negarawan, Tun Dr. Ismail - Utusan Malaysia

Kumpulan Utusan hargai jasa negarawan, Tun Dr. Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur 17 Julai – Kumpulan Utusan hari ini berbesar hati menyampaikan cenderamata kepada ahli keluarga negarawan terkenal, Allahyarham tun Dr. Ismail Abdul Rahman di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin di sini.

Penyampaian cenderamata berupa tiga rencana bersiri tentang Allahyarham Dr. Ismail yang dihasilkan sempena ulang tahun utusan ke-80 itu disampaikan oleh ahli lembaga pengarah syarikat, Datuk Ahmad Fauzi Zahari kepada anak sulung arwah, Mohamed Tawfik.

Yang turut hadir ialah Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar; Penolong Pengarang Rencana, Sahidan Jaafar serta ahli keluarga arwah yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam majlis sama, Mohamed Tawfik menzahirkan penghargaan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia atas kesudian menghasilkan rencana mengenai arwah bapanya itu.

“Saya berbesar hati atas jemputan yang diberikan dan apa yang dibuat oleh pihak Utusan Malaysia ini adalah perkara yang amat dihargai untuk memperingati jasa arwah bapa kepada negara. 


“Kebetulan keluarga saya dan Utusan Malaysia tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam sejarah Tanah Melayu. Semasa dokumen pengisytiharan kemerdekaan dalam senarai mereka yang menandatangani dokumen itu adalah keluarga saya iaitu bapa saya dan bapa mentuanya (datuk kepada Mohamed Tawfik). Waktu itu Utusan Malaysia memainkan peranan penting untuk membangkitkan semangat orang Melayu tentang kemerdekaan,” katanya di sini hari ini. 


Majlis turut diserikan dengan sesi khas pembacaan kata-kata hikmah Dr. Ismail oleh Sahidan seperti terkandung dalam buku ‘Bukan Kerana Pangkat’ karya Ooi Kee Beng.

Dr. Ismail merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak dan terus diingati se­­bagai ‘Tokoh Ketiga’ yang paling berpengaruh dalam sejarah politik Malaysia selepas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.


Negarawan itu pernah dilantik oleh Tun Abdul Razak menjadi Menteri Dalam Negeri pada 1 September 1960 sehingga 21 Mei 1967 sebelum meninggalkan kabinet atas sebab-sebab kesihatan. Beliau kemudian dilantik semula memegang jawatan itu pada 14 Mei 1969 berikutan peristiwa berdarah 13 Mei pada tahun tersebut.

Tun Abdul Razak mempengerusikan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan meminta beliau untuk menjadi Timbalan Pengarah Mageran (Mei 1969-Februari 1971).


Beliau merupakan duta pertama dari Malaysia ke Amerika Syarikat pada 1957 selain pernah diberikan pentauliahan menjadi duta negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga 1959. 

Beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Selangor telah dinamakan dengan Taman Tun Dr. Ismail sebagai memperingati jasanya kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini