PASIR GUDANG – Indeks bacaan udara yang baik tidak boleh dijadikan ukuran bahawa pencemaran udara di daerah ini sudah selesai.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, situasi ketika ini mendapati kualiti udara berada pada tahap memuaskan tetapi masih ada yang mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah-muntah.
“Bagaimana kita nak putuskan bila isu ini akan selesai kerana selagi ada yang alami simptom (namun) kita tidak akan berhenti buat pemantauan.
“Bagaimana definisi selesai itu? Jika daripada bacaan, saya boleh kata dah selesai, tetapi simptom itu ada lagi,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau menyifatkan kes pencemaran yang berlaku sejak 20 Jun itu sebagai dianggap unik kerana berlaku di kawasan sekolah dan ketika ada sesi persekolahan sahaja.
Bee Yin hairan kerana ramai penduduk di sini dan keadaan bertambah pelik apabila melibatkan bacaan kualiti udara di sekolah terlibat.
“Bila kita ambil bacaan kualiti udara di sekolah yang muridnya dilaporkan sedang alami simptom, atau yang sedang disaring di klinik kesihatan, bacaan rendah dan normal, maka ia tidak sepadan dengan keadaan,” katanya.
Jelas beliau, dua peringkat saringan kesihatan dijalankan ke atas semua mereka yang mengalami simptom iaitu di sekolah dan klinik kesihatan sebelum dirujuk ke hospital sekiranya perlu.
“Sekarang ini kita buat dua peringkat saringan, satu di sekolah, kemudian di klinik kesihatan. Jika benar-benar ada simptom yang betul dan perlu pemerhatian lanjut, baru kita hantar ke hospital, tetapi tidak semestinya dimasukkan ke wad,” katanya.
Menurutnya ini kerana ada yang pelajar terbabit mungkin hanya alami keresahan dan hasil pemantauan kualiti udara di 85 buah sekolah mendapati kebanyakan bacaan kualiti udara adalah sifar dan ada juga yang turun dan naik mengikut keadaan angin.
“Jika kehadiran gas yang sekejap ada sekejap tiada ini biasanya ia tidak memberi kesan kepada kesihatan, kerana kesan biasanya jika pendedahannya lebih panjang. Tetapi, mungkin ada yang terkesan ini mereka yang terlalu sensitif terhadap keadaan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE











