Komitmen kerajaan cegah rasuah membuahkan hasil - PM - Utusan Malaysia

Komitmen kerajaan cegah rasuah membuahkan hasil – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 18 Julai – Komitmen kerajaan dalam meletakkan agenda pencegahan rasuah sebagai salah satu keutamaan telah membuahkan hasil apabila Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang telah dilaksanakan selama hampir enam bulan menunjukkan reaksi positif.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, keyakinan masyarakat dan masyarakat antarabangsa terhadap keseriusan kerajaan dalam menangani permasalahan rasuah, integriti dan governans juga boleh dilihat dalam Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Siri 13/2018.

“Jawatankuasa dimaklumkan pada hari ini bahawa persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam perkara ini telah meningkat sebanyak 11 peratus daripada 59.8 peratus pada tahun 2016 kepada 70.8 peratus pada tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Kali Ke-9 di Bangunan Perdana Putra di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Terdahulu, Perdana Menteri turut melancarkan aplikasi telefon pintar generasi kedua, Respons Rakyat (RR 2.0) bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, berdasarkan petunjuk antarabangsa, Malaysia turut mencatatkan peningkatan termasuk laporan Edelsmann Trust Barometer Global yang menunjukkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan meningkat kepada 60 pada tahun 2019 berbanding 46 pada tahun 2018.

“Asian Corporate Governance Association (ACGA) pula meletakkan kedudukan Malaysia di dalam Corporate Governance Watch naik tiga anak tangga daripada tempat ketujuh pada tahun 2016 ke tangga keempat pada tahun 2018.

“Economist Intelligence Unit (EIU) pula melaporkan Indeks Demokrasi 2019 naik ke tempat 52 berbanding 59 (2018), manakala Indeks Kebebasan Media 2019 meletakkan Malaysia di tangga pertama dalam kalangan negara Asia Tenggara dan 123 berbanding 145 negara di dunia.

“World Bank Ease of Doing Business meletakkan Malaysia meningkat sembilan tangga daripada ke-24 pada tahun 2018 dan naik ke tangga 15 pada tahun 2019,” katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat juga beberapa perkara dasar telah dilaksanakan yang menyumbang kepada peningkatan persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam permasalahan rasuah, integriti dan governance antaranya:

i. Tiada pelantikan Ahli Parlimen sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC) kecuali membabitkan Khazanah Nasional Berhad. Berbanding sebelumnya syarikat GLC utama kerajaan seperti Tabung Haji, MARA dan Felda FGV diterajui Ahli Parlimen sehingga mengakibatkan kerugian yang besar sehingga hari ini.

ii. Tiada lagi perolehan secara rundingan terus dibuat bagi projek pembangunan fizikal di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR). Kini JKR melaksanakan kaedah tender terbuka 100 peratus bagi semua projek pembangunan fizikal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Ini jauh lebih baik di mana pada 2017 hanya 30 peratus dibuat melalui tender terbuka dan 58 peratus tender terhad, manakala 12 peratus secara rundingan terus.

iii. Kewibawaan institusi Parlimen dapat dikembalikan, di mana Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dilantik telah meletak jawatan politik dalam parti dan Pengerusi PAC dilantik dari kalangan pembangkang. Pendedahan maklumat lebih telus kepada umum seperti laporan Kertas Putih FELDA, Tabung Haji dan laporan Siasatan Projek Land Swap Kementerian Pertahanan dibentangkan di Dewan Rakyat.

iv. Lapan kertas mesyuarat telah dibincang yang memberi fokus kepada inisiatif yang digariskan dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 berkaitan dengan usaha untuk menambah baik governans dan integriti dalam memerangi rasuah. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini