IPOH – Sebuah teater muzikal berjudul Sally yang mengisahkan tentang percintaan biduanita negara iaitu Allahyarham Saloma bakal dipentaskan oleh Persatuan Kebudayaan Kinta Perak.
Ia menampilkan artis seperti Arja Lee yang membawa watak seniman agung Tan Sri P. Ramlee@Remy; Nasuha Yusoff sebagai Saloma@ Sally dan Adilla Shafi sebagai Mariani.
Pengarahnya, Ard Omar berkata, teater tersebut akan dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini pada 5 hingga 7 Julai ini.
Beliau yang juga penulis skrip teater ini memberitahu, Sally bukan sahaja berkisar kepada kerjaya Saloma sebagai penyanyi, malah juga kegigihan biduanita itu dalam bidang seni suara.
“Ia juga menonjolkan sisi cintanya terhadap lelaki, kakaknya serta konflik jiwa dan pengorbanan cinta.
“Justeru, orang Ipoh yang juga peminat Saloma dan P. Ramlee khususnya jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan teater ini yang turut diisi dengan lagu-lagu menarik,” katanya pada sidang akhbar di
auditorium JKKN di sini semalam.
Teater Sally diadaptasi daripada kisah cinta dan kehidupan Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail bermula pada zaman penjajahan Jepun hinggalah menjadi isteri kepada P. Ramlee.
Ia turut menyaksikan penampilan khas Najua P. Ramlee iaitu cucu kepada seniman agung tersebut dan Rozita Rohaizad (anak saudara Saloma).
Sementara itu Arja Lee berkata, watak yang dipertanggunjawabkan kepadanya cukup besar lantas tidak mempersia-siakan kepercayaan yang diberi.
“Watak P.Ramlee bukanlah asing pada saya kerana membesar dengan lagu-lagu dan filem-filem beliau, jadi tidak timbul masalah untuk menghayati watak ini.
“Pengarah sendiri tidak mahu saya menjadi jelmaan P.Ramlee, sebaliknya melakonkan kisah hidup seniman itu mengikut penghayatan sendiri”, katanya.
Tiket masuk pada harga RM15 dan RM10 boleh ditempah menerusi talian 012- 4040 088 atau 017-9265 932.
Sebahagian daripada kutipan ini nanti akan disumbangkan kepada beberapa rumah kebajikan. -UTUSAN ONLINE











