KANGAR – Kira-kira 15,000 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyertai projek Estet Padi melibatkan kawasan seluas 35,000 hektar atau kira-kira 30 peratus keluasan sawah dalam pentadbiran lembaga itu.
Menurut Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali, keluasan itu mencapai hasrat MADA sejak projek Estet Padi dilancarkan pada 2011 bertujuan meningkatkan hasil dan mengatasi masalah petani yang meningkat usia tua.
“Melalui projek ini kita dapat mengurangkan kos mengusahakan sawah 10 hingga 15 peratus manakala hasil meningkat sebanyak 0.5 tan hingga satu metrik tan satu hektar,” katanya ketika ditemui pada majlis Erat Raya Mada Wilayah 1 Perlis di pekarangan agensi itu di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir pada majlis itu.
Fouzi berkata, petani MADA yang mengusahakan sawah secara individu hanya mampu mencapai produktiviti purata 5 hingga 5.5 tan sehektar setiap musim.
MADA masih dalam usaha meningkatkan infrastruktur saliran air dari 18 meter kepada 30 meter bagi sehektar sawah supaya produktiviti dapat ditingkatkan sebanyak tujuh hingga lapan metrik tan satu hektar.
“Peningkatan saliran ini penting supaya pengurusan air akan lebih efisyen untuk disalurkan secara menyeluruh ke kawasan tanaman padi dan sekaligus meningkatkan produktiviti padi,” kata Fouzi. – BERNAMA











