KUALA LUMPUR 17 Julai – Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tidak perlu ‘menangguk di air keruh’ dengan membangkitkan semula kisah-kisah lama berkaitan video lucah membabitkan Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai terdesak dan hanya sia-sia serta tidak menguntungkan rakyat.
“Anwar telah melalui satu proses derita yang panjang melibatkan badan kehakiman, pihak berkuasa dan segala bentuk siasatan. Fasa fitnah dan derita beliau sudahpun tamat dan beliau kini bersedia sepenuhnya sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.
“ Membangkitkan semula kisah fitnah melibatkan Anwar adalah langkah pincang Khairuddin untuk melindungi pemimpin tertentu. Sebagai Penyelaras Parlimen Jasin, beliau seharusnya menumpukan tugas untuk memperkasakan institusi masyarakat dan bukannya melakukan kerja sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Badli Shah berkata, tindakan Khairuddin yang berterusan melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah itu hanya memberi kelebihan kepada barisan pembangkang.
“Umum mengetahui bahawa Parlimen Jasin masih dibawah cengkaman UMNO dan Barisan Nasional.
“Justeru, saya ingin menasihatkan Khairuddin untuk berhenti melakukan kerja yang sia-sia kerana rakyat sudah jemu dengan politikus yang tidak bekerja untuk rakyat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











