PUTRAJAYA 28 Julai – Kes gejala penyakit seperti influenza (ILI) didapati mencatatkan peningkatan dalam julat normal sejak bulan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini berdasarkan trend yang direkodkan daripada aktiviti survelan pihaknya.
Menurutnya, trend yang direkodkan itu adalah hampir sama berbanding trend pada tahun-tahun sebelumnya.
“Begitu juga, analisa terhadap virus influenza yang dikesan daripada aktiviti survelan ini tidak menunjukkan sebarang tanda ianya telah mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza yang baru (novel virus),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Secara amnya, tambah Noor Hisham, kejadian berkaitan jangkitan pernafasan meliputi influenza di Malaysia sentiasa dipantau rapi oleh kementerian bagi mengesan situasi kejadian luar biasa melalui sistem survelan tersebut.
Pemantauan tersebut jelasnya, meliputi kadar konsultasi kes ILI dan pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (SARI).
“Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di Malaysia,” katanya.
Bagi mencegah penularan jangkitan influenza, Noor Hisham berkata, beliau ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.
Selain itu katanya, amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pembersih tangan (hand sanitizer) serta mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat adalah digalakkan.- UTUSAN ONLINE











