PULAU PINANG 8 Julai – Dewan Pemuda Pas Kawasan Bayan Baru dan Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru mendesak kerajaan negeri berkongsi kepada umum pelan pembinaan baharu projek jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang dikatakan tidak mengganggu seinci pun tanah wakaf Masjid Sungai Nibong Besar.
Ketua Dewan Pemuda Pas Bayan Baru, Muhammad Zikri Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru, S.Mathis dalam satu kenyataan bersama berkata, ini kerana sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menjelaskan tidak ada seinci pun tanah wakaf perkuburan di Masjid Sungai Nibong Besar yang akan diusik.
Bagaimanapun, ujar mereka, perkara itu berbeza dengan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Selamatkan Masjid Sungai Nibong Besar, Sophian Mohd. Zain berhubung kira-kira 600 kubur yang terletak 1.8 meter di luar kawasan wakaf yang akan terjejas akibat pelaksanaan projek itu.
“Oleh itu, kami mendesak kerajaan negeri berkongsi kepada umum pelan pembinaan baharu projek tersebut yang dikatakan tidak menganggu seinci pun tanah wakaf perkuburan Masjid Sungai Nibong Besar,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Cadangan projek LRT itu terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) meliputi jarak 30 kilometer dan 27 stesen dari Komtar ke pulau tebus guna di selatan bahagian pulau Pulau Pinang.
Bagaimanapun, cadangan jajaran LRT Bayan Lepas itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kariah Masjid Sungai Nibong Besar kerana jajaran itu didakwa melibatkan tanah wakaf masjid.
Dalam pada itu, Muhammad Zikri dan S.Mathis berkata, kerajaan negeri juga digesa meratifikasikan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta A1522, Pindaan 2017) terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek LRT itu.
Ujar beliau, ratifikasi itu penting kerana akta tersebut akan memperuntukkan kerajaan negeri untuk melaksanakan satu penilaian impak sosial berskala penuh terhadap projek berkenaan.
“Kami difahamkan kerajaan negeri belum meratifikasikan akta ini yang mana secara tidak langsung bermaksud, kerajaan negeri juga belum menjalankan sebarang kajian penilaian impak sosial projek ini terhadap sosio ekonomi dan sosio politik Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN ONLINE











