PUTRAJAYA – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhasrat menjadi peneraju untuk membina platform khusus bagi Tapak Demonstrasi Ekohidrologi Nasional (National Ecohydrology Demosite) di negara ini.
Menterinya, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, beliau yakin inisiatif ekohidrologi sedang dilaksanakan di seluruh negara merangkumi pelbagai peringkat dan ekosistem.
Katanya, ketika ini tasik dan Wetland Putrajaya, dekat sini merupakan antara satu daripada 23 tapak demonstrasi ekohidrologi di dunia.
“Kita akan mengenal pasti inisiatif tersebut supaya lebih banyak tapak demonstrasi ekohidrologi dapat diwujudkan di negara ini.
“Tapak demonstrasi ekohidrologi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Putrajaya boleh digunakan sebagai makmal untuk mempelajari pendekatan ekohidrologi, menggunakan Wetland sebagai sistem semula jadi bagi merawat aliran hulu sungai utama yang memasuki tasik,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Forum Ekohidrologi Antarabangsa UNESCO bersempena Mesyuarat Ekohidrologi Global dan Jawatankuasa Penasihat Ekohidrologi UNESCO, di sini hari ini.
Program tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang program ekohidrologi yang dilaksanakan UNESCO. – UTUSAN ONLINE











