KUANTAN 30 Julai – ‘Diusik’ Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika mengiringi Seri Paduka menaiki pesawat ke Kedah untuk menghadiri pertabalan Sultan Kedah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, semasa berada di dalam pesawat berkenaan, Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang memintanya memegang tangan isterinya, Datin Seri Burhah Mohammed kerana Seri Paduka mahu merakam gambar itu.
“Seri Paduka gemar mengambil gambar dan baginda telah mengambil gambar saya yang mana secara kebetulan isteri saya pun ada bersama pada waktu itu.
“Tuanku meminta saya pegang tangan isteri saya dan baginda maklum ini merupakan kenangan indah di angkasaraya,” katanya ketika berkongsi kenangan menarik bersama Al-Sultan Abdullah dalam wawancara dengan Utusan Malaysia sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang disiarkan hari ini.
Menurut Wan Rosdy, walaupun mengetahui Al-Sultan Abdullah bergurau, beliau memegang tangan isterinya dan Seri Paduka merakam gambar itu.
“Selepas itu Tuanku hantar gambar itu kepada saya. Bagi saya, walaupun saya tahu Tuanku bergurau, tetapi itulah antara kenangan manis ketika saya bersama dengan Seri Paduka,” ujarnya.
Ikuti sedutan penuh wawancara tersebut yang antara lain Wan Rosdy berkongsi pesanan Al-Sultan Abdullah dan perancangan pembangunan Pahang dalam keluaran khas Utusan Malaysia sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 hari ini. – UTUSAN ONLINE











