KUALA LUMPUR 28 Julai – Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar Subang Jaya digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang bermula 13 Ogos hingga 16 September ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2019.
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran kempen tersebut bertujuan menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan masyarakat.
“Sepanjang tempoh tersebut, semua pemilik premis, bangunan kerajaan dan swasta serta pemilik kediaman diharap dapat memberi kerjasama sepenuhnya dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Pemasangannya perlu di tempat yang sesuai dan sentiasa berada dalam keadaan baik serta tidak lusuh kerana ia adalah lambang kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











