JOHOR BAHRU – Pengendali Petaling Jaya (PJ) City, K. Devan tidak dapat dapat menyembunyikan kegembiraan setelah pasukan kerdil bimbingannya itu muncul pemusnah buat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah bergelar juara bagi memburu rekod tanpa kalah dalam Liga Super, musim ini.
Kemenangan tipis 0-1 tersebut turut menyaksikan pendatang baharu Liga Super itu meranapkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan di gelanggang sendiri dalam saingan liga sejak 2013 setelah mengharungi 75 perlawanan dengan mencatat 64 kemenangan dan 11 seri.
Devan memuji persembahan pemain yang mempamerkan kesungguhan tinggi dan aksi berdisiplin pada bahagian pertahanan mengikut taktikal yang diterapkan bagi mengekang kemaraan JDT.
“Walaupun bermain secara bertahan, kita tetap mampu menghasilkan beberapa peluang serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol tunggal yang memberikan kita kemenangan cukup bermakna.
“Saya rasa mungkin disebabkan mereka sudah bergelar juara, motivasi untuk bermain menentang kita mungkin tidak berada pada tahap optimum melainkan mereka hendak mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.
“Bagi PJ City, ini merupakan satu catatan sejarah buat pasukan yang pertama kali bersaing dalam saingan Liga Super apabila mampu mengejutkan sang juara di kubu kuat mereka, ini adalah kemenangan yang cukup bermakna,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.- UTUSAN ONLINE











