Kembar Siam berkongsi kepala dipisahkan selepas pembedahan 55 jam - Utusan Malaysia

Kembar Siam berkongsi kepala dipisahkan selepas pembedahan 55 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Sepasang kanak-kanak kembar Siam dari Pakistan dipisahkan di Hospital Great Street (GOSH) di sini selepas menjalani pembedahan selama 55 jam, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan hospital berkenaan.

Pasangan kembar Siam perempuan itu berkongsi tengkorak dan salur darah.

“Empat pembedahan, masa pembedahan selama 55 jam dan ucapan selamat berpisah!,” kata pihak pengurusan hospital tersebut dalam kenyataannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selepas menjalani rawatan selama sembilan bulan, kembar Siam tersebut akhirnya dibenarkan pulang pada 1 Julai lalu.

“Safa dan Marwa mempunyai perjalanan yang panjang menanti mereka tetapi kami harap mereka dapat menjalani kehidupan yang aktif dan gembira,” kata GOSH menerusi Twitter lewat kelmarin.

Pihak hospital itu berkata, Safa dan Marwa dilahirkan pada Januari 2017. Mereka bersambung pada bahagian kepala.

GOSH menerima kehadiran kembar Siam itu pada musim luruh tahun 2018 dan membuat persediaan untuk memisahkan mereka.

Proses pemisahan itu merangkumi empat peringkat dan melibatkan 100 kakitangan perubatan, daripada jururawat sehinggalah kepada pakar neurologi dan kraniofasial.

“Selepas tempoh penyembuhan dan fisioterapi intensif di GOSH, kembar tersebut meninggalkan hospital pada Julai 2019 dan kini sembuh dengan baik di rumah bersama keluarga mereka,” kata GOSH.

Pasangan kembar itu berdepan banyak cabaran pada masa hadapan tetapi GOSH berharap mereka akan menjalani kehidupan yang aktif. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini